Home
 

PERKEMBANGAN STOR DAN PERBEKALAN 1945-2003

   Pada mulanya Stor dan Perbekalan Negara memperolehi bekalannya melalui Crown Agents dibawah pengawasan Pegawai Residen British. Setelah itu pengurusannya diambil alih oleh Pegawai Kewangan Negara. Perbekalan melalui Crown Agents ditamatkan, selepas Negara Brunei Darussalam mencapai kemerdekaan penuh pada 1984. Semenjak itu bekalan penting untuk negeri ini diselaraskan sepenuhnya oleh Jabatan Stor dan Perbekalan Negara seperti beras dan gula melalui perjanjian jual/beli antara Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kerajaan Thailand.

   Kemudahan stor pada awalnya adalah sebuah bangunan atap dan kajang bertempat di kompleks Jabatan Kerja Raya (JKR) di Jalan Kianggeh dimana bangunan Tokong Cina berada sekarang. Pada masa itu juga stor tidak beruntuk (unallocated stores) dibina di Jalan Tasek bersempadan dengan bengkel JKR yang mula beroperasi pada awal tahun 1955 dengan jumlah stok berharga $509,709.00.

   Kemudian Ibu Pejabat Stor dan Perbekalan Negara ditempatkan di Jalan Pemancha dekat tambing dimana lokasi bangunan cawangan IBB berdiri pada masa ini. Pada ketika itu bangunan tersebut dikongsikan bersama tiga jabatan lain iaitu Jabatan Imigresen mengisi tingkat pertama, manakala tingkat kedua dibahagi kepada Stor dan Perbekalan Negara dan Jabatan Perhutanan.

   Semasa tahun 1950an, perbincangan bermula untuk mengabungkan stor-stor Kerajaan dibawah satu bumbung. Ini adalah kerana pada masa itu terdapat kesulitan pada pengawalan dan pengawasan terhadap beberapa gudang dan depo yang ditempatkan dibeberapa lokasi. Akhirnya keputusan dicapai untuk membina Kompleks Stor baru, dan dicadang pada mulanya untuk dibina ditapak lokasi berdekatan Istana Edinburgh yang ada pada masa ini. Cadangan ini kemudian dibatalkan.

   Akhirnya kawasan di Jalan Gadong dipilih sebagai lokasi gudang yang wujud hingga hari ini. Kompleks gudang di Jalan Gadong siap dalam awal tahun 1970. Pemindahan pegawai dan perabot pejabat dilakukan pada akhir tahun 1969. Kompleks pada masa itu mempunyai bangunan ibu pejabat, satu gudang untuk stor tidak beruntuk (unallocated stores), satu gudang untuk stor semen dan kimia, dua gudang untuk stor beras dan satu gudang untuk stor gula iaitu Blok A, B, C, E dan F (Gudang machis). 

   Dalam tahun 1980an, projek membina gudang-gudang tambahan bagi stor beras dan gula iaitu Blok D, Blok H dan Blok I telah dilaksanakan untuk keperluan dan kelancaran perkhidmatan selaku Jabatan Stor dan Perbekalan Negara pada masa itu. Pada akhir tahun 1980an, tiga gudang lagi dibina iaitu Blok J, K dan L.

 

Keatas